Monday, March 9, 2009

Akhlak mulia sifat utama hamba, mukmin sejati

Oleh Wan Aminurrashid Wan Abd Hamid

Rasulullah ajar manusia supaya saling berkasih sayang, bersopan santun dan saling menghormati

MELAHIRKAN masyarakat Islam yang unggul, cemerlang dan sentiasa berada dalam keredaan Allah SWT seperti generasi terdahulu, melainkan kembali menghayati serta mengamalkan keseluruhan akhlak terpuji yang ditunjukkan Rasulullah SAW.

Perutusan Baginda bertujuan memperbaiki dan menyempurnakan akhlak manusia. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia." (Riwayat Imam Malik)

Islam sangat menekankan akhlak mulia dan menggesa supaya akhlak mulia menjadi pakaian manusia setiap masa khususnya individu Muslim kerana akhlak mulia itulah yang dapat mensejahterakan umat.

Apabila setiap individu itu berakhlak terpuji, maka akan harmoni kehidupan seluruh manusia, lantaran tiada permusuhan, persengketaan, tiada hasad, dendam dan saling memfitnah. Hidup manusia pasti aman, tiada peperangan lantaran antara manusia wujud sifat kasih sayang.

Keseluruhan akhlak terpuji terkumpul dalam peribadi Rasulullah SAW kerana Baginda tidak sekadar menyeru dan menganjurkan umatnya berakhlak mulia, malah setiap perlakuan diterjemahkan dalam kehidupan Baginda.

Rasulullah mengajar umatnya saling berkasih sayang, bersopan santun, saling menghormati, bersifat adil, pemurah, pemaaf, sabar, pemalu yang mana semua sifat itu ada dalam diri Baginda.

Akhlak mulia adalah hasil daripada ibadat yang dilakukan serta cara hidup Islam dilalui umatnya. Seseorang itu dianggap baik jika baik akhlaknya. Biarpun seseorang itu kaya dan banyak berbuat kebajikan, tetapi jika buruk akhlaknya ia tidak bernilai di sisi Allah SWT dan kalangan manusia.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya kamu tidak akan mampu menggauli semua manusia dengan hartamu. Tetapi kamu dapat memenangi hati mereka dengan wajah berseri dan akhlak yang mulia." (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi).

Sebanyak mana pun ibadah tetapi jika tidak menghasilkan buah seperti diharapkan iaitu diperlihatkan dengan akhlak terpuji, maka tiada bernilai di sisi Allah SWT.

Sewaktu seorang lelaki bertanya Rasulullah SAW, apakah agama itu? Baginda menjawab: Akhlak yang baik. Lelaki itu kemudian berpindah ke sebelah kiri, kanan dan belakang Baginda, di mana setiap kali dia bertanya kepada Baginda, apakah (inti sari) agama itu? Maka jawab Baginda: Akhlak yang baik.

Maka sewajarnya setiap individu Muslim berusaha tampil sebagai manusia berakhlak sepanjang hidup yang singkat ini kerana itulah sebenarnya sifat sebagai hamba Allah SWT dan mukmin sejati.

Berakhlak mulia sebenarnya dapat melahirkan kecintaan Allah SWT, sebaliknya keburukan akhlak akan menimbulkan kemurkaan Allah SWT di samping boleh mewujudkan kekacauan serta suasana tidak tenteram dalam hidup bermasyarakat.

Keselesaan hidup manusia pasti terganggu atau tergugat jika banyak berlaku perbuatan tercela dalam masyarakat seperti mengadu domba, dengki, dendam, permusuhan, menghina dan sifat keji yang lain.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim lainnya. Tidak boleh menganiayanya, tidak boleh merendahkannya dan tidak boleh pula menghinanya. Takwa itu ada di sini seraya Baginda menunjukkan dadanya tiga kali." (Hadis riwayat Muslim)

Al-Quran dan sejarah ada merakamkan beberapa kisah umat terdahulu yang dibinasakan Allah seperti kaum 'Ad, Tsamut termasuk Firaun dan Namrud kerana derhaka kepada Allah, enggan mengikut seruan Rasul yang diutuskan Allah dan mengamalkan akhlak buruk, padahal mereka adalah umat yang maju dari segi pembangunan fizikal.

No comments: