Wednesday, March 4, 2009

Arak punca pelbagai penyakit, dorong gejala maksiat

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Kajian ilmiah Barat turut buktikan alkohol lebih banyak mudarat daripada manfaat

ISLAM mengharamkan arak sejak 14 abad lalu. Orang Arab jahiliah sebelum kedatangan Islam adalah peminum arak tegar. Mereka menganggap arak minuman terbaik untuk menikmati keseronokan hidup sebenar. Ada juga Arab jahiliah yang baru memeluk Islam cuba mempengaruhi Rasulullah SAW dengan mengatakan arak boleh menjadi penawar dan ubat. Rasulullah SAW menyanggah anggapan itu dengan bersabda bermaksud: "Ia bukan ubat, bahkan sebenarnya punca segala penyakit." (Hadis riwayat Muslim)

Berbicara mengenai arak, kata isteri Rasulullah SAW, Aisyah RA yang dipetik Imam Bukhori yang bermaksud: "Jika al-Quran mula-mula memberitahu orang Arab supaya jangan minum khamar (arak) dan tidak berjudi serta melakukan perzinaan, mereka akan berkata: Tidak, kami tidak akan patuh. Al-Quran terus menyampaikan ke dalam hati mereka rasa takut dan kasih kepada Allah. Cerita kehidupan selepas mati, mengenai syurga dan taman-tamannya yang indah bagi sesiapa yang patuh, seksaan api neraka bagi yang ingkar sehingga hati mereka menjadi lembut, selepas itu mereka diperintahkan berhenti daripada meminum khamar, melakukan perzinaan dan berjudi dan mereka mematuhinya." (Hadis riwayat Bukhori)

Walaupun begitu, arak tidak dilarang serta-merta. Ia mengambil tiga tahun untuk pengharaman arak secara keseluruhannya. Orang Islam mula bertanyakan perihal arak seperti dinyatakan firman Allah yang bermaksud: "Mereka bertanya kepadamu mengenai khamar dan judi. Katakanlah pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia. Tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya." (Surah al-Baqarah, ayat 219). Ayat itu memberi kesedaran dan keinsafan kepada orang yang kuat iman dan beramal salih untuk terus meninggalkan arak dan judi. Bagaimanapun larangan terhadap arak tidak dinyatakan dengan jelas.

Perintah lain yang diturunkan adalah dalam peristiwa seorang sahabat bersolat dalam keadaan mabuk dan melakukan kesilapan besar ketika membaca ayat suci al-Quran. Peristiwa itu diceritakan dalam firman yang bermaksud: "Hai orang beriman, janganlah kamu solat sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan." (Surah an-Nisa', ayat 43)

Larangan itu penting kerana tabiat mabuk diperkatakan buat pertama kali bersama sembahyang yang difardukan pada waktu tertentu dalam masa sehari iaitu bermula solat Subuh hingga Isyak. Ini menimbulkan konflik antara perintah baru dengan adat resam orang Arab jahiliah yang meminum arak awal pagi dan malam.

Perjuangan melawan hawa nafsu bagi mengekang tabiat minum arak menagih kesabaran dan ketabahan peminumnya. Pada peringkat awal, untuk menghilangkan ketagihan peminum tegar mungkin terkena 'sawan' atau meracau.

Perintah akhir larangan meminum arak diturunkan pada majlis jamuan yang diadakan antara orang Muhajirin dan Ansar. Apabila ramai mabuk, mereka mula bermegah dan kemudian bergaduh sesama sendiri dengan melontar ketulan tulang daripada hidangan.

Apabila rasa mabuk hilang, mereka menyesal, insaf dan rasa berdosa atas tindakan itu. Pada waktu itulah al-Quran menyatakan judi dan khamar dilarang kepada umat Islam seperti firman Allah bermaksud: "Syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum arak dan berjudi dan menghalang kamu daripada mengingati Allah dan solat; maka berhentilah kamu )daripada melakukan perbuatan itu." (Surah al-Maidah, ayat 90-91)

Anas Malik disebut menyatakan: "Apabila khamar (arak) dilarang, orang Arab masih menyukainya dan ada yang amat berat untuk mematuhinya. Tetapi akhirnya mereka berjaya mematuhi perintah Allah dengan setiap daripada peminum akan membawa arak di rumah masing-masing ke jalan raya dan membuangkannya. Jalan dan lorong di Madinah dipenuhi bau arak sehingga beberapa hari."

Sejak peristiwa itu, orang Islam di seluruh dunia paling kurang berdepan dengan ketagihan arak. Sudah jelas, sesetengah jenayah berlaku dalam masyarakat antara lain berpunca daripada gejala arak. Kajian ilmiah sama ada dari segi sains, psikologi dan kemasyarakatan menunjukkan bahaya arak.

Al-Quran sejak awal memberi amaran mudarat arak lebih banyak daripada manfaatnya iaitu:

l Apabila banyak diminum, arak boleh merosakkan selaput lendir perut serta menjadi racun yang meresap dengan cepat ke dalam bahagian lain tubuh manusia, terutama jantung dan buah pinggang.

l Menjadikan seseorang sesak nafas kerana alat pernafasan terganggu.

l Boleh menyebabkan kematian mengejut akibat tekanan kuat alkohol kepada hati dan jantung.

l Minum arak ketika perut kosong atau sebelum sarapan menyebabkan barah perut.

Profesor A J Arberry mengatakan: "Peminum arak menghadapi bahaya penyakit darah beku dan pembekuan air hempedu, malah mereka akan merepek seperti orang gila dan mudah mendapat penyakit ahmar atau lumpuh.

"Selain itu, seseorang yang mabuk akibat arak hilang pertimbangan akalnya. Secara tidak sedar dia membuka keburukan dirinya kepada orang lain."

Penyusun Ensiklopedia Islam, Profesor Muhammad Farid Wejdi menjelaskan: "Tidak pernah manusia menerima pukulan yang paling hebat seperti arak. Orang yang terkorban juga ramai disebabkan arak. Jika dibanci orang sakit di hospital seluruh dunia, nescaya paling ramai ialah penghidap penyakit gila dan urat saraf disebabkan arak. Orang yang menderita kesakitan urat saraf, pundi makanan, tali perut disebabkan arak."

Nyatalah kebenaran firman Allah keburukan dan kerosakan kepada manusia disebabkan arak lebih banyak daripada kebaikannya.

No comments: