Friday, March 13, 2009

Bersama YaPEIM: Industri halal mampu perkasa ekonomi ummah

Malaysia punya kelebihan daya saing jadi hab promosi, pengedaran dan pengeluaran

INDUSTRI makanan halal adalah satu sektor ekonomi yang berpotensi untuk menjadi pemangkin kepada pemantapan jaringan global komuniti perniagaan dan perdagangan Islam. Dengan nilai pasaran global dianggarkan RM2,023 bilion setahun, industri itu berupaya memperkasa ekonomi umat Islam di seluruh dunia.

Apa yang perlu dilakukan komuniti perniagaan Islam ialah mempergiatkan usaha membentuk jaringan kerjasama global meliputi aspek pemprosesan makanan, pemasaran, penyediaan modal, penyelidikan dan pembangunan. Institusi kewangan Islam pula perlu memainkan peranan bermakna dalam membantu memajukan industri ini melalui penyediaan kemudahan kewangan yang fleksibel kepada pengusaha berpotensi untuk maju.

Menyedari potensi sektor ini, kerajaan memberi penekanan khusus kepada pembangunan industri halal dalam Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3) Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) kini menyediakan Pelan Induk Industri Halal yang antaranya menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan integriti halal serta meningkatkan aktiviti pengeluaran dan dagangan makanan halal. Malaysia sebagai negara Islam, mempunyai kelebihan daya saing dan berada dalam kedudukan baik untuk menjadi hab bagi promosi, pengedaran dan pengeluaran makanan halal.

Melalui penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) dan Forum Halal Dunia (WHF) yang diadakan setiap tahun kerajaan menyasarkan pembentukan usaha sama strategik antara pengusaha industri halal komuniti perniagaan dan perdagangan Islam.

Kerajaan juga memperuntukkan RM218.3 juta di bawah kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), peningkatan 95 peratus daripada peruntukan asal RMK-9 iaitu RM112 juta untuk pembangunan industri makanan halal termasuk peruntukan membangunkan pusat industri makanan halal di Kelantan, Kedah, Perlis, Terengganu dan Pahang. Pembinaan infrastruktur pusat industri makanan halal ini dijangka siap tahun ini.

Dengan komitmen kerajaan terhadap industri makanan halal melalui pelaksanaan dasar dan program berterusan, komuniti pernia-gaan dan perdagangan Islam mempunyai peluang terbaik untuk berkecimpung dalam industri ini dan menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi ummah.

Industri halal tidak terhad kepada industri pengeluaran dan pemprosesan makanan, malah merangkumi sektor perkhidmatan, seperti perbankan dan logistik. Sistem kewangan Islam kini berada di ambang dimensi baru kerana dilihat kurang berisiko. Di samping menawarkan perkhidmatan kewangan tanpa faedah, sistem kewangan Islam mempunyai pelan dan dana jangka panjang seperti zakat, wakaf, baitulmal, sedekah dan hibah yang mengurangkan risiko penyusutan sumber dana.

Sektor perbankan dan kewangan Islam berkembang pesat 10 tahun lalu dan kini dianggarkan bernilai RM2,960 bilion. Dengan kadar perkembangan sekitar 10 hingga 15 peratus setahun, sektor ini dijangka mencecah nilai trilion dolar dalam masa terdekat. Krisis ekonomi global menyaksikan banyak bank dan institusi kewangan konvensional berdepan masalah, sekali gus menyerlahkan potensi sistem perbankan dan kewangan Islam berisiko rendah untuk muncul sebagai sektor berdaya saing pada peringkat antarabangsa.

Dalam menghadapi ketidaktentuan sistem kewangan global, usaha menjadikan dinar emas sebagai penjelasan dagangan pelbagai hala, seperti dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, wajar dipergiatkan semula.

Dinar emas yang mempunyai nilai intrinsik dan stabil terhadap kegiatan spekulasi, sebagai perantara dagangan boleh membantu negara Islam mengurangkan kesan ketidaktentuan dan susut nilai mata wang fiat yang menjadi perantara utama dalam perdagangan antarabangsa.

Bagaimanapun, oleh kerana rakan dagang utama negara Islam ialah negara maju seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Jepun yang terikat dengan status quo sistem ekonomi dan kewangan semasa adalah wajar penggunaan dinar emas dilaksanakan secara selektif antara rakan dagang negara Islam. Industri logistik halal juga antara bidang boleh ditingkatkan penyertaan dalam memasuki pasaran global, memandangkan masih ada ruang industri logistik halal berkembang.

Logistik halal adalah proses untuk mengusahakan, menggerak serta menyimpan inventori siap sebelum diedarkan, berlandaskan hukum syariah.

No comments: