Wednesday, March 18, 2009

Bersama YaPEIM: Kekukuhan sektor PKS jamin kestabilan ekonomi negara

Oleh Prof Madya Dr Noor Azman Ali

LAPORAN Tahunan Bank Negara Malaysia 2007, landskap pembiayaan mengalami perubahan berterusan untuk memenuhi keperluan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sepanjang tiga peringkat utama kitaran hayat perniagaan, iaitu permulaan perniagaan, pengembangan perniagaan dan pemulihan.

Ada pelbagai sumber pembiayaan PKS daripada institusi kewangan, merangkumi agensi berasaskan kerajaan, institusi perbankan, institusi kewangan pembangunan, syarikat pemajakan dan pemfaktoran, syarikat modal usaha niaga yang menyediakan pembiayaan modal serta ekuiti.

Selain itu, pelbagai dana dan skim khas untuk PKS diwujudkan kerajaan beberapa kementerian yang berkenaan. Institusi kewangan terus menjadi sumber pembiayaan terbesar bagi PKS.

Pada akhir 2007, jumlah pembiayaan terkumpul institusi perbankan dan institusi kewangan pembangunan berjumlah RM128 bilion dan disalurkan kepada 625,167 akaun PKS.

Institusi perbankan adalah penyedia utama pembiayaan untuk PKS, mencakupi lebih 89 peratus atau RM114.2 bilion daripada jumlah pembiayaan terkumpul yang disediakan institusi perbankan dan institusi kewangan pembangunan (BNM, 2008). Laporan itu turut menunjukkan hanya 55.6 peratus daripada jumlah pembiayaan yang dipohon sepanjang 2007 oleh PKS diluluskan pihak institusi kewangan.

Kerajaan juga menunjukkan kesungguhannya untuk menjamin keutuhan ekonomi negara dengan memperkasakan sektor PKS. Kira-kira 12 kementerian dan 40 agensi kerajaan terbabit sepenuhnya dalam pembangunan PKS.

Polisi jelas bagi memacu pertumbuhan PKS dirancang melalui pelbagai strategi yang digariskan dalam Rancangan Induk Industri Kedua, Rancangan Garis Panduan Perspektif Ketiga, Rancangan Malaysia Ke-lapan (RMK-8) dan yang sedang dilaksanakan dalam RMK-9.
Sebagai contoh, tahun ini, kerajaan akan menjalankan sejumlah 190 program utama membabitkan komitmen kewangan sebanyak RM3.7 billion untuk membantu pihak PKS membina daya saing serta kebolehan.

Pada masa sama, sektor kewangan swasta juga memainkan peranan dalam memajukan kegiatan ekonomi khusus untuk memberi bantuan dan sokongan kewangan kepada usahawan PKS.

Antaranya produk insentif kewangan perdagangan untuk menggalakkan penyertaan PKS dalam pasaran eksport terutama perdaga-ngan di antara negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)

Faedah utama kepada PKS adalah mengurangkan kos kewangan tanpa memerlukan cagaran. Di bawah skim ini PKS akan mendapat bantuan kewangan dari bank berkenaan dengan risiko kreditnya dikongsi bersama bank itu Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank).

Di antara bank yang menyertai skim ini adalah Malayan Banking Berhad, Bumiputra-Commerce Bank Berhad, RHB Bank Berhad, Affin Bank Berhad, Alliance Bank Malaysia Berhad, AmBank Berhad, EON Bank Berhad, Hong Leong Bank Berhad, Public Bank Berhad, Southern Bank Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, RHB Islamic Bank Berhad, Commerce Tijari Bank Berhad, Hong Leong Islamic Bank Berhad and SME Bank.

Sementara itu, di antara institusi kewangan swasta yang paling aktif dalam menyediakan bantuan kewangan untuk PKS adalah Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Bhd (SME Bank). Di antara produk SME Bank adalah SME Start-up, SME Professional, SME Franchise, SME Global, SME Procurement, Program Usahawan Bioteknologi, Penggalakan Penyertaan Bumiputra Dalam Sektor Perkhidmatan Strategik, Skim Pembiayaan Third Window (Modal kerja dan Perolehan aset dan peralatan), Program Pembangunan Usahawan Kraf, Program Vendor (SmartBiz), Tabung Usahawan Siswazah, Program Untuk Kontraktor Selenggaraan Bangunan Kerajaan, Program Pembangunan Usahawan Dalam Perkhidmatan 'Outsourcing', Program Halal Hab dan Program Usahawan Agro-Based.

Pada tahun lalu, SME Bank memeterai dua memorandum persefahaman (MoU), masing-masing dengan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia Sdn Bhd (MTDC) dan UKM Holdings Sdn Bhd. Tujuan persetujuan itu adalah untuk menjalinkan kerjasama strategik bagi memberi pinjaman penuh kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya tujuan Pembangunan dan Penyelidikan (R&D).

Menurut persetujuan yang ditandatangani, MTDC akan memberi pinjaman sebanyak separuh daripada permohonan yang diterima manakala separuh lagi diberikan oleh SME Bank membolehkan SME Bank mendapat akses penilaian yang dibuat SME Bank dan mengguna pakai untuk menawarkan baki pembiayaan 50 peratus kepada menerima geran berkenaan.

Selain MTDC dan UKM Holdings, SME Bank sudah menjalin kerjasama dengan enam institusi lain iaitu CIMB Bank Bhd, Permodalan Nasional Bhd, Mara, PUNB, Smidec dan Bank Muamalat Bhd.

Penulis ialah Pensyarah Fakulti Ekonomi & Pengurusan UPM yang menyampaikan kertas kerja bertajuk "Keupayaan Institut Pembiayaan Industri Sederhana, Kecil dan Mikro Dalam Melahirkan dan Memperkasakan Usahawan Kecil yang Berdaya Maju: Ke Arah Satu Pendekatan Baru Yang Lebih Berkesan", sempena Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) di PWTC, baru-baru ini.

No comments: