Saturday, March 21, 2009

Bijak kawal hawa nafsu tentukan martabat insan

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir


TINDAKAN mengikut hawa nafsu sering menjerumuskan manusia ke kancah persengketaan. - Gambar hiasan


Muslim cemerlang guna akal, iman sebagai panduan jalani kehidupan penuh ujian

MANUSIA adalah sebaik-baik kejadian yang diciptakan Allah di muka bumi berbanding makhluk lain. Kelebihan dan kemuliaan manusia disebabkan mereka diberi akal fikiran.

Dengannya manusia dapat berfikir untuk membezakan perkara baik dan buruk, sekali gus tahu mana perintah Allah yang perlu ditaati dan dilarang-Nya yang mesti dijauhi.

Allah juga membekalkan nafsu kepada manusia. Dengan nafsu martabat dan kedudukan manusia boleh menjadi lebih tinggi dan mulia atau menjadikan insan lebih hina serta rendah daripada haiwan. Baik atau buruk hidup manusia bergantung kepada tahap kesucian batin dan nafsunya.

Mengikut ulama, kemuliaan seseorang hamba bergantung sejauh mana taraf makrifatnya kepada Allah. Jika seseorang berjaya mencapai tahap makrifat sebenar, ia menjadi sebaik-baik makhluk. Berjaya atau tidak manusia itu menjadi makhluk terbaik bergantung kepada sejauh mana ia mengawal nafsunya.

Nafsu mempunyai dua pengertian iaitu meliputi segala tabiat manusia seperti benci, dendam dan berahi. Pengertian kedua berkait dengan kejadian latifah rabbaniyah, iaitu sesuatu yang batin, tidak dapat dilihat dengan mata kasar kerana membabitkan hal kerohanian.

Allah jadikan manusia daripada dua unsur iaitu jasmani dan rohani. Dalam tubuh manusia ada dua tenaga iaitu yang membina dan tenaga merosak. Tenaga membina tunduk di bawah pengendalian akal sihat dan waras, sementara tenaga perosak tunduk di bawah pengaruh nafsu.

Seperti tercatat dalam kitab Sirras Salikin, sesetengah ulama daripada ahli suluk mengelaskan nafsu manusia kepada tujuh jenis iaitu amarah, lawwamah, mulhamah, mutmainnah, radhiah, mardhiah dan kamaliah.

Namun, hanya empat jenis nafsu popular di kalangan umat Islam iaitu amarah, lawwamah, mulhamah dan mutmainnah.

Nafsu amarah tingkat nafsu paling rendah yang menyeru manusia melakukan kejahatan kerana dibayangi perlakuan syaitan dan iblis yang sesat lagi menyesatkan.

Nafsu lawwamah lebih tinggi tingkatnya berbanding amarah, tetapi masih tidak jauh bezanya daripada nafsu amarah dilihat dari sudut pelakuan orang dipengaruhinya. Lawwamah ialah nafsu yang suka mengajak dan menyuruh orang melakukan kejahatan.

Mulhamah ialah nafsu yang menerima beberapa proses kesucian daripada sifat hati yang tercemar. Proses itu menyebabkan segala kekotoran atau hasutan syaitan dapat dibuang dan diganti dengan amalan mengingati Allah.

Nafsu mutmainnah pula merujuk golongan mukmin yang salih dan dihidupkan rohnya, pada waktu sama mempamerkan akhlak mulia dan peribadi yang tinggi serta mata hatinya hidup untuk melihat sesuatu yang ghaib serta mengenal dengan perasaannya.

Sesungguhnya nafsu berperanan sebagai perangsang atau pendorong manusia mengejar cita-cita dan impian demi tuntutan hidup.

Ada yang berjaya mencapai impian mengikut landasan dibenarkan Allah, malah ada juga yang tergelincir daripada landasan dibenarkan Allah kerana dihasut nafsu syaitan.

Pengaruh kebendaan antara penyebab ramai manusia terjerumus dalam kemusnahan. Semua ini berpunca daripada kelemahan diri terlalu mengikut nafsu yang dibayangi syaitan.

Imam al-Ghazali pernah mengumpamakan nafsu sebagai binatang liar kerana sukar dikawal. Jika nafsu dikawal dan dididik, ia menjadi jinak dan tunduk mengikut segala kehendak dan kemahuan kita.

Nafsu lebih banyak mempengaruhi manusia untuk melakukan keburukan daripada mengajak melakukan kebaikan. Hanya orang yang teguh dan kuat imannya mampu menewaskan hasutan dan pengaruh nafsu.

Melakukan pembaziran antara contoh pekerjaan yang dihasut dan dipengaruhi syaitan. Justeru, selalu disebut membazir itu kawan syaitan.

Pembaziran tidak berlaku di kalangan orang yang tinggi keimanannya kepada Allah kerana ia menjadi penghalang atau benteng menahan diri daripada godaan hawa nafsu dibayangi syaitan. Dengan kata lain, iman yang teguh boleh menyelamatkan Muslim daripada terjerumus ke dalam perangkap hawa nafsu.

Selama hidup, kita sentiasa berdepan dengan nafsu yang banyak membawa kepada kemusnahan jika tidak dikawal bersungguh-sungguh. Nafsu hanya kalah dengan orang mantap imannya dan ikhlas beribadah kepada Allah.

Harus diingat Allah jadikan manusia supaya beribadah kepada-Nya. Hal ini dijelaskan dalam al-Quran surah Adz-Dzaariyaat ayat 56, Allah SWT berfirman bermaksudnya: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku."

Manusia, Muslim yang cemerlang dalam hidup adalah mereka yang mampu dan berjaya mengalahkan hawa nafsu dengan iman yang kuat dan mantap.

No comments: