Tuesday, March 3, 2009

Dukun guna ilmu ghaib rawat pesakit boleh seleweng akidah

Oleh Ibrahim Abdullah

DUKUN pada istilah bahasa ialah orang yang mengubati pesakit dengan memberi bacaan jampi mantera dan sebagainya. Dalam bahasa Arab disebut kuhhan (tukang tenung, ramalan).

Budaya dukun di negara kita dan di Nusantara adalah amalan turun-temurun peninggalan budaya bangsa. Tidak diketahui secara pasti bila amalan perdukunan dimulakan.

Perubatan secara dukun sejak dulu amat mempengaruhi masyarakat pelbagai peringkat. Dukun ada kategori antaranya dukun beranak, jampi mantera, kekuatan ghaib, susuk dan sihir.

Amalan perdukunan bertujuan sebagai kaedah perubatan pencegahan, berbekalkan kekuatan ghaib, dan peramalan. Perubatan yang dilakukan secara tradisional, menggunakan tumbuhan lebih terkenal disebut sebagai tabib.

Perubatan yang dilakukan dengan jampi seperti dengan membaca ayat al-Quran atau doa yang dapat difahami, dikenali sebagai ruqiyah. Dalam al-Quran dan hadis, tidak ada ciri perdukunan berkaitan ramalan ghaib seperti di atas kerana yang mengetahui alam ghaib hanya Allah.

Firman-Nya bermaksud: "Katakanlah tidak ada seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui hal-hal ghaib kecuali Allah." (Surah an-Naml, ayat 65)

Penekanan dalam ayat ini menjelaskan amalan perdukunan seperti meramalkan nasib dan bertenung diharamkan. Rasulullah SAW melarang berjumpa tukang tenung (kuhhan) dalam sabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menjumpai tukang tenung, kemudian ia bertanyakan kepadanya sesuatu, ditutup baginya pintu taubat selama 40 malam." (Hadis riwayat Tabarani)

Perubatan dengan tumbuh-tumbuhan dan ayat al-Quran yang dibacakan kepada pesakit, tidak ada larangan. Ulama menyatakan, boleh menggunakan bacaan dengan menyebut nama Allah, membaca bahasa Arab yang dapat difahami maksudnya dan yakin Allah berkuasa memberi penyembuhan.

Rasulullah SAW juga menganjurkan melakukan perubatan dengan hal alamiah bukan dengan perubatan khurafat. Perubatan secara alamiah seperti minum madu, bekam, atau menempelkan besi pada badan yang sakit.

Perubatan cara khurafat iaitu keyakinan atau kegiatan yang tidak memiliki dasar dan tidak bersumber daripada ajaran agama.

Diriwayatkan oleh Imam Ahamd, bahawa Nabi SAW pernah meminta kepada seorang lelaki untuk melepaskan gelang yang ada pada tangannya kerana lelaki itu beranggapan gelang berkenaan dapat memberikan kekuatan fizik kepadanya.

Islam sangat memerangi perkara yang dapat menyelewengkan akidah umatnya, sama ada dalam bentuk amalan perdukunan dan khurafat kerana perbuatan syirik itu termasuk dosa besar yang tidak diampunkan Allah.

Firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa syirik dan mengampuni dosa selain itu bagi orang yang Dia kehendaki, dan barang siapa yang syirik kepada Allah, maka sesungguhnya mereka sudah melakukan dosa yang sangat besar." (Surah an-Nisa', ayat 48)

No comments: