Sunday, March 15, 2009

Ganti solat patut diutama berbanding amalan sunat

Persoalan Agama

Saya musykil, apakah Allah menerima solat sunat yang dilakukan seseorang yang sebaliknya sering leka mengerjakan solat fardu? Apakah beliau harus qada semua solat fardunya itu sebelum mengerjakan solat sunat.

Noraini Rashid,
Taiping, Perak.

Solat fardu adalah kewajipan bagi setiap Muslim yang mukallaf. Meninggalkan solat dengan sengaja atau tiada keuzuran adalah dosa besar. Oleh itu, solat yang ditinggalkan sama ada sengaja atau uzur seperti terlupa dan tertidur wajib diganti pada waktu lain.

Mengikut Kitab Fiqh dan Perundangan Islam oleh Dr Wahbah az-Zuhaili, fuqaha sependapat mengatakan qada sembahyang yang luput wajib disegerakan tanpa mengambil kira sama ada disebabkan keuzuran atau tidak.

Mazhab Syafie yang membuat penafsiran mengenai hal ini berkata: "Sunat menyegerakan sembahyang yang terluput jika disebabkan keuzuran seperti tertidur atau terlupa. Namun, jika keluputan itu terjadi tanpa sebarang keuzuran, maka menyegerakan qada adalah wajib".

Perkara ini merujuk firman Allah SWT bermaksud "... dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku " (Surah Taha: ayat 14) yang memberi tafsiran melewatkan solat adalah maksiat, maka maksiat wajib dihapuskan segera.

Oleh itu, penting untuk qada solat fardu yang terluput secepat mungkin. Sesetengah ulama berpendapat orang yang sudah meninggalkan solat tidak boleh mendahului beberapa solat sunat sedangkan beliau belum menyelesaikan dan melengahkan qada solat fardu.

Contohnya, jika seseorang leka menjaga solat fardu tetapi rajin melakukan solat hajat, diibaratkan seorang hamba Allah tidak mahu melakukan perintah Allah tetapi suka bermohon atau mendesak agar Allah SWT kabulkan permintaan dan kehendak peribadinya.

Ia menunjukkan sifat tamak dan tidak bersyukur sebagai hamba Allah.

No comments: