Wednesday, March 4, 2009

Iqra: Berdakwah kepada kakitangan bawah

Judul: Travelog Dakwah Meniti Hari Esok
Penulis: Muhd Kamil Ibrahim
Penerbit: PTS Publications & Distributors Sdn Bhd
Pengulas: Mona Ahmad
Harga: RM18 bagi Semenanjung dan RM20 bagi Sabah dan Sarawak

KALI pertama membaca buku tulisan Prof Muhd Kamil Ibrahim, profesor perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi kembaranya dalam Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman, pasti membuatkan sesiapa saja ingin terus membaca hasil tangannya yang seterusnya.

Kembali dengan buku bertajuk Travelog Dakwah Meniti Hari Esok, penulis membawa pembaca mengembara dalam penghijrahan dirinya dan pembaca sebagai persediaan menghadap Penciptanya.

Buku ini adalah kisah kita semua. Kisah lampau dan perjalanan menuju alam kekal abadi.

Penulis tanpa rasa malu mengakui hanya tahu membaca al-Quran ketika berusia 40-an, tidak menutup aurat dan liat untuk solat berjemaah. Taufik dan hidayah adalah anugerah tidak terhingga daripada Allah. Hati terbuka untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Buku ini menceritakan perjalanan pasca haji penulis yang mahu terus mengamalkan apa yang diamalkan ketika di Tanah Suci antaranya, solat berjemaah setiap waktu, puasa sunat dan solat malam memohon keredaan Ilahi.

Tanpa rasa riak dan takbur, keikhlasan penulis untuk berdakwah menerusi penulisannya jelas terpancar.

Semakin tinggi jawatan, semakin sukar mendekati Allah. Kenapa tidak. Berjawatan tinggi mengundang kesibukan. Hakikatnya, lagi berjawatan tinggi lagi mudah untuk melaksanakan perintah Allah.

Dalam buku ini, penulis menceritakan pengalamannya dalam mentadbir organisasi tanpa meminggirkan ibadat. Beliau turut menjadikan dasar dalaman jabatannya dengan menangguhkan setiap mesyuarat apabila azan Zuhur dan Asar berkumandang. Mengajak kakitangan solat berjemaah adalah satu cara pemimpin berdakwah.

Berjawatan tinggi adalah anugerah Allah. Begitu tinggi amanah dan harapan Allah letakkan kepada mereka yang berjawatan tinggi dan menjadi ketua di kalangan mereka sendiri.

Buku ini turut mengundang keinsafan supaya kita tidak lagi berdolak dalik untuk melunaskan tanggungjawab sebagai khalifah serta berdakwah membangunkan agama Allah.

Penulis turut menyulami tulisannya dengan maksud al-Quran yang membuatkan setiap jiwa yang membacanya mahu berhijrah.

Penulis menceritakan dakwahnya kepada warga kampus UiTM membuka ruang kepada masyarakat pelbagai peringkat terutama yang mempunyai jawatan tinggi untuk menjayakan misi dakwah.

Penulis turut mendedahkan mengenai pendekatan berdakwah kepada pihak lain selain dirinya. Baginya, mengajak atau memujuk diri sendiri bagi melakukan kebaikan bukan perkara mudah, apatah lagi menyeru orang lain.

Penulis memberi beberapa contoh untuk mengajak berdakwah menerusi perbuatan. Antaranya beliau sanggup berkongsi nasi bungkus dengan pelajarnya ketika berbuka puasa pada majlis penutup Program Minggu Siswa UiTM Segamat, Johor kerana kekurangan makanan.

Perbuatannya itu membuatkan mereka tanpa segan silu turut menawarkan nasi masing-masing untuk dikongsi rakan yang belum makan.

No comments: