Saturday, March 28, 2009

Kualiti umat penentu kecemerlangan negara


ATAS tekad dan usaha gigih tidak mustahil kita mampu menempuh cabaran seterusnya dan mencapai hasrat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020 nanti. - Gambar hiasan


PERBINCANGAN mengenai kualiti umat tidak seharusnya berlegar di sekitar produktiviti material dan kemahiran semata-mata tetapi kualiti yang dimaksudkan meliputi kejiwaan, intelektual dan spiritual yang digabungkan dengan kualiti fizikal seperti berketrampilan, rajin, beretika, beriman serta berwawasan.

Kualiti ditafsirkan sebagai ciri perkhidmatan seperti kesopanan, kemesraan dan ketetapan masa atau ciri luaran seperti daya ketahanan, kebolehpercayaan, estetik, peranan dan keselamatan. Semua ciri itu bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan individu bagi mencapai kejayaan sesebuah agensi dan seterusnya negara.

Bagaimanapun, usaha mempertingkatkan kualiti harus dilihat sebagai satu proses yang menyeluruh dan bersepadu membabitkan semua anggota sesebuah agensi atau persatuan.

Islam sendiri menekankan perlunya umat Islam berusaha dan berlumba-lumba membina masa depan serta mencari kejayaan seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Berlumbalah kamu mengerjakan kebaikan, di mana saja kamu berada, nescaya Allah akan mengumpulkan kamu semua, sesungguhnya Allah itu berkuasa atas segala sesuatu.”

Ternyata, Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW menghendaki kita supaya sentiasa berusaha mencari kemajuan dan kejayaan berteraskan prinsip Islam bagi mendapatkan keredaan Allah.

Mengimbas sejarah perjuangan Rasulullah SAW, pastinya kita melihat bagaimana kejayaan penuh gemilang dicapai Baginda hanya dalam jangka masa singkat. Lebih-lebih lagi jika diteliti detik dilalui pada permulaan sejarah kerasulannya di Makkah, seolah-olah tidak menjanjikan apa-apa kerana sentiasa berada di bawah tekanan pihak Musyrikin.

Apabila berhijrah ke Madinah, keadaannya berbeza sekali. Islam diterima sebilangan besar penduduknya berbanding usaha Baginda SAW ketika di Makkah. Kejayaan Rasulullah SAW bukan sekadar menyebarkan Islam dan membangunkan masyarakat, malah lebih daripada itu.

Baginda SAW mementingkan kualiti sebenar yang harus ada pada jiwa pengikutnya supaya negara Islam dibina Baginda benar-benar berada di atas pundak yang kukuh imannya kerana dengan Islam dan iman lahirnya amal salih yang berguna kepada setiap insan.

Penghidupan dihiasi akhlak Islam dan nilai hidup berteraskan syariat Allah berjaya mencipta tamadun manusia dan mampu dipertahankan sebegitu lama. Tamadun yang diciptakan Muhammad SAW menerusi wahyu Ilahi adalah tamadun bersifat syumul demi kejayaan dunia dan akhirat.

Perjuangan Rasulullah SAW bukan saja untuk membawa manusia meninggalkan dunia demi mengejar akhirat semata-mata, pengorbanan dan kepayahan dihadapi Baginda menegakkan Islam adalah untuk mencapai kedua-duanya sekali.

Benarlah sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan tuntutlah olehmu akan apa saja yang sudah disediakan kepadamu di akhirat dan jangan sekali-kali kamu lupa memperjuangkan nasibmu di dunia (untuk mencapai kemajuan) dan berbuat baiklah (kepada manusia) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu di samping itu jangan sekali-kali kamu melakukan angkara jahat di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang berbuat kerosakan.” - (Surah al Qasas, ayat 77)

Menghadapi proses pembangunan negara dan pembangunan insan, kualiti umat harus digilap supaya keseimbangan kemajuan negara disaingi ketinggian martabat umat itu sendiri. Umat Islam perlu mempunyai disiplin, menjaga peraturan, menghormati masa, tekun, sabar, beramal salih dan semangat daya juang yang kental.

Umat berkualiti adalah penentu kejayaan dan kecemerlangan negara. Tanpanya, segala halangan dan tentangan yang dihadapi bagi mencapai matlamat wawasan negara, tidak akan dapat ditangkis oleh umat yang lemah.

Islam sentiasa menekankan prinsip kesungguhan dan dedikasi berteraskan ilmu dalam mencapai kejayaan. Islam juga menitikberatkan umatnya melaksanakan pekerjaan secara bersungguh-sungguh tanpa rasa jemu dan kecewa.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu membuat sesuatu perkara, ia melakukannya dengan tekun.” - (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Kejayaan umat Islam mesti berasaskan kepada struktur perencanaan yang rapi, kualiti digarap dan ketahanan spiritual mantap, barulah seluruh umat manusia akan menikmati kehidupan berdisiplin, berilmu, inovasi dan produktif.

Segala bentuk kemajuan serta wawasan yang dicita-citakan tidak akan tercapai sepenuhnya tanpa adanya perancangan teliti dan konkrit. Abul ‘Ala al Maududi dalam karyanya menegaskan pentingnya umat Islam menjadi maju dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Istilah al Hadarah al Islamiyah (tamadun Islam) digunakan oleh beliau sebagai membuktikan bahawa umat Islam menjadi penyumbang utama kepada tamadun dunia sejak berabad lamanya dengan pencapaian gilang gemilang dalam pelbagai bidang. Ini membuktikan umat terdahulu lebih berkualiti dalam tindakan mereka bagi memastikan kelangsungan hidup umat masa hadapan yang cemerlang.

Umat berkualiti tidak selamanya memadai dalam menunaikan kewajipannya pada kadar yang dipertanggungjawabkan saja, malah bagi mencari manfaat, umat Islam hendaklah sentiasa menunaikan tugas melebihi daripada had yang sudah semestinya.

Justeru, umat Islam tidak sepatutnya mengambil jalan mudah dan memintas peluang dengan memijak orang lain. Kejayaan sebenar di sisi Islam adalah hasil usaha kudrat sendiri berlandaskan ciri agama.

Orang yang mempunyai wawasan hidup, tidak akan menerima kekayaan secara percuma lebih-lebih lagi diragui halalnya. Mereka berkeyakinan, kekayaan seumpama itu tidak akan kekal lama kerana mungkin di sebalik kekayaan itu berlaku penindasan dan kezaliman terhadap orang lain.

Jika kita meneliti perjuangan Rasulullah SAW, jelas menunjukkan kejayaan yang diperoleh, bukan sekadar kejayaan di dunia malah kejayaan di akhirat. Pengorbanannya paling tinggi. Perjuangannya penuh cabaran. Halangan yang ditempuh bukan sebarangan. Namun perjuangan tetap diteruskan.

Jika habuan dan keseronokan dunia yang diperjuangkan Muhammad SAW semata-mata, maka Baginda sudah lama mencapainya ketika di Makkah lagi. Sewaktu ditawarkan oleh Musyrikin kepada Muhammad SAW harta, kemuliaan, pangkat, wanita cantik, semuanya ditolak.

Rasulullah SAW berpandangan jauh. Baginda tidak menerima kekayaan yang singkat tanpa perjuangan bagi meraih kejayaan. Kejayaan sebenarnya ialah apabila Islam dapat disebarkan bukan saja di Tanah Arab malah ke Asia, Afrika, Eropah dan seluruh dunia hinggalah yang kita lihat hari ini.

Di sinilah letaknya kualiti perjuangan diasaskan Rasulullah SAW yang perlu diwarisi seluruh umat Islam jika ingin kejayaan hidup yang diredai Allah.

Kegigihan umat Islam dalam babak mencipta kemajuan akan menjadi mudah jika kepemimpinan negara sentiasa menerapkan nilai Islam dalam pentadbiran, ekonomi dan pendidikan.

Tokoh pemikir Islam, Malek Bin Nabi ada menyatakan tujuan kewujudan sesebuah masyarakat ialah merealisasikan kehendak Islam pada peringkat individu dengan peringatan bahawa kehidupan duniawi adalah jalan menuju kehidupan akhirat. Islam cara hidup paling relevan.

Islam mahukan umatnya cemerlang, bermutu, berkualiti tinggi, sentiasa terkehadapan. Jika perkara ini dapat dijadikan sumber ketahanan kejayaan umat Islam, tidak mustahil kita mampu menempuh cabaran seterusnya dan mencapai hasrat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020 nanti.

No comments: