Friday, March 6, 2009

Maulidur Rasul titik tolak perkukuh perpaduan ummah kesatuan

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my


PERARAKAN Maulidur Rasul meningkatkan lagi hubungan sesama umat.


Perarakan sambutan hari kelahiran Rasulullah SAW lambang kesatuan

DATARAN Merdeka bakal melihat perhimpunan terbesar umat Islam, Isnin ini sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1430 Hijrah yang dijangka dihadiri 100,000 hadirin termasuk kontinjen yang akan berarak sambil berselawat memohon kesejahteraan ke atas junjungan Rasulullah SAW.

Perhimpunan sempena memperingati hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW itu bertujuan memperlihatkan penyatuan umat Islam yang secara tidak langsung menjurus kepada perpaduan masyarakat di negara ini.

Ini dikuatkan dengan tema 'Wahdah Pemangkin Khaira Ummah' atau penyatuan pemangkin ummah terbaik sebagai elemen penting untuk kelangsungan ummah kerana pepatah Arab menyatakan: "Tidak dapat dicapai kemenangan melainkan dengan kekuatan dan tidak dapat dicipta kekuatan melainkan dengan penyatuan (perpaduan)."

Kesedaran mengenai pentingnya penyatuan dan semangat perpaduan sudah disemai dan dibaja subur Rasulullah SAW kepada sahabat Baginda demi mencapai matlamat penyatuan umat Islam ketika itu.

Antara usaha digerakkan Baginda SAW ialah menyatukan suku kaum dengan penuh hikmah, menggubal perlembagaan bagi menjamin perpaduan, melaksanakan prinsip syura, memperkenalkan dasar ekonomi adil, penubuhan pasukan tentera, melaksana metodologi dakwah dan diplomatik berstrategi.

Selain itu, Baginda SAW membangunkan masyarakat Islam bermoral supaya dapat dijadikan panduan bagi melahirkan ummah terbaik terutama umat Islam hari ini supaya kesinambungan daripada misi itu dapat diteruskan.

Meletakkan sasaran dan matlamat menjadi khaira ummah memerlukan komponen teras seperti penguasaan ilmu dan kemahiran dengan dipimpin iman serta takwa yang mantap daripada setiap individu, masyarakat, organisasi serta negara.

Era globalisasi penuh cabaran serta provokasi menuntut umat Islam melahirkan lebih ramai insan dan ilmuwan berjiwa besar, bersemangat kental dan mempunyai keyakinan untuk mencapai status khalifah Allah yang sejati.

Menjelaskan lebih lanjut sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz, berkata perarakan dan perhimpunan besar-besaran kali ini bertujuan menonjolkan syiar Islam yang mementingkan semangat kesatuan.

"Perhimpunan itu juga adalah untuk satukan ummah Islam dari segi pemikiran dengan cara berpersatuan dan bergerak dalam masyarakat untuk menghadapi serta menangani cabaran mendatang.

"Dalam konteks Malaysia ini, perpaduan umat Islam menjadi teras kepada perpaduan dan keamanan negara. Justeru, menjadi harapan kita sambutan kali ini turut dihadiri rakyat berbilang bangsa serta pelancong asing," katanya.

Beliau berkata, sambutan Maulidur Rasul adalah acara negara dan terbuka kepada umum untuk bersama menghayati semangat kesatuan serta perpaduan yang sekian lama menjadi sebahagian daripada faktor keamanan serta keharmonian dikecapi negara.

Malah, konsep sambutan yang menghimpunkan semua lapisan masyarakat juga menjurus kepada acara kekeluargaan dan orang ramai dijemput menghadirinya bersama keluarga.

Berbeza dengan majlis sambutan sebelum ini, perarakan kontinjen akan bermula daripada lapan masjid membabitkan kontinjen terdiri daripada kakitangan kerajaan, swasta, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah.

Masjid terbabit ialah Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Jamek Kuala Lumpur, Masjid Bukit Aman, Masjid India, Masjid Jamek Kampung Baru, Masjid Pakistan dan Masjid As-Syakirin KLCC.

Perarakan kontinjen didahului barisan kenamaan sambil berselawat dimulakan dari Masjid Negara ke Dataran Merdeka diikuti perarakan kontinjen dari tujuh masjid lain yang dijangka akan turut disertai orang awam yang berada di sekitarnya.

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan dijangka dihadiri Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak serta menteri Kabinet dijadual hadir pada majlis itu.

Tahun ini, enam penerima dipilih untuk Anugerah Maulidur Rasul bagi mengiktiraf mereka yang melaksanakan tugas serta perkhidmatan fardu kifayah yang menjurus kepada kepentingan dan kemakmuran rakyat.

Wan Mohamad berkata, 100 pencalonan diterima dan daripada jumlah itu lapan calon disenarai pendek sebelum enam dipilih sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1430 Hijrah.

Tahun ini juga buat julung kalinya Anugerah Perdana diperkenalkan dan penerima anugerah akan menerima wang tunai RM50,000, sebuah plak, sijil dan hadiah iringan, sementara lima penerima lain akan menerima RM22,000 setiap seorang berserta hadiah iringan.

Anugerah Maulidur Rasul mula diperkenalkan pada 1413 Hijrah (1992 masihi) dan pencalonan terbuka kepada lelaki serta perempuan Islam dan bukan Islam yang terbabit dalam tugas serta perkhidmatan mencabar, berisiko tinggi, kritikal yang memberi kebaikan kepada rakyat dan negara.

Tahun lalu, lima calon dipilih menerima anugerah berkenaan termasuk Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan pelajar cemerlang kurang upaya, Nor Umairah Ahmad Jamhari.

Majlis sambutan turut diserikan dengan persembahan khas berkonsepkan hiburan bermesej yang mengimbau kehidupan masyarakat Arab sebelum kelahiran Rasulullah SAW, kelahiran Baginda, cabaran dihadapi semasa mengembangkan dakwah dan penyatuan umat Islam sebagai khaira ummah.

Kumpulan al-Gebra, Nakasutra, Akhil Hayy, Waheeda, Yassin dan pencerita Sabri Yunus bersama Ebby Saiful diiringi 60 pelaku gerak dan 40 kanak-kanak bakal menampilkan persembahan yang turut dimeriahkan dengan pukulan kompang.

Sebagai menghayati serta menghargai semangat kesatuan yang digerakkan Rasulullah SAW dan disambung sahabat Baginda serta kepemimpinan dulu, di Dataran Merdeka pada jam 7.30 pagi untuk menyambut Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1430 Hijrah.

Malah, perhimpunan di Dataran Merdeka kali ini juga sungguh bererti untuk mengenang kembali keberkesanan sambutan dipulihkan semula pada 1992 selepas perarakan menyambut Maulidur Rasul diberhentikan sejak 1979.

No comments: