Monday, March 30, 2009

Menafikan wujud jin boleh menidakkan kekuasaan Maha Pencipta

Oleh Dr Muhammad Azizan Sabjan

JIN makhluk ciptaan Allah yang ditaklifkan untuk menyembah Allah dan melakukan ibadat kepada-Nya. Seperti manusia, mereka juga dikehendaki beriman dengan Nabi Muhammad SAW dan melaksanakan segala ajaran Islam.

Tegasnya, mereka hanyalah makhluk ciptaan Allah yang mempunyai kelemahan seperti manusia. Sememangnya jin wujud dan mempercayai kewujudannya bukanlah suatu kepercayaan tahyul atau momokan masyarakat.

Tegasnya, kewujudan ciptaan Allah bernama jin sudah termaktub dalam al-Quran dan hadis. Menafikan kewujudannya boleh membawa erti seolah-olah kita menafikan kehebatan Allah mencipta hamba-Nya.

Mempercayai kewujudan jin bukanlah suatu kepercayaan tahyul. Bahkan, tidak keterlaluan jika dikatakan cubaan menolak atau menafikan kewujudan jin boleh dikira menafikan kekuasaan dan kehebatan Allah kerana kewujudan mereka disahkan dalil al-Quran dan hadis.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku." (Surah al-Dzariyaat, ayat 56)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Maka janganlah kamu beristinjak dengan tulang dan tahi binatang. Sebab hal itu adalah bekal (makanan) saudaramu daripada kalangan jin." (Hadis riwayat Tarmizi)

Allah mencipta Adam dan keturunannya iaitu manusia daripada tanah. Malaikat pula diciptakan Allah daripada nur (cahaya). Berlainan pula keadaan penciptaan jin, ia tidak dicipta daripada tanah mahupun nur. Ia juga bukan berasal daripada Adam dan Hawa.

Asal usul jin daripada jin bernama Jaan. Jaan beriman kepada Allah dan melahirkan keturunan beriman. Ada pula daripada keturunan Jaan yang kufur dan melahirkan pula keturunan kufur.

Anak cucu Jaan yang beriman itu ada yang kekal dalam iman, ada pula kufur dan ada yang kembali beriman kepada Allah. Dalam erti kata lain, Jaan ialah bapa segala jin seperti Adam ialah bapa segala manusia.

Jaan ialah jin yang pertama, dicipta dan dijadikan daripada lidah api. Keturunan jin yang seterusnya pula dijadikan dan berkembang-biak daripadanya sama seperti halnya Adam dan keturunannya iaitu manusia. Seperti manusia, jin juga daripada pelbagai bangsa dan jenis.

Mereka juga mempunyai jajahan pemerintahan dan kerajaannya tersendiri. Jin juga seperti manusia inginkan keturunan dan hidup berpuak-puak. Puak dan kumpulan jin terlalu banyak dan bercakap pelbagai loghat serta bahasa. Jin juga diperintahkan Allah untuk menerima syariat Islam seperti diperintahkan kepada manusia.

Majoriti bangsa jin daripada golongan jin kafir. Jin kafir ini kebanyakannya beragama Yahudi, Kristian, komunis dan sangat sedikit beragama Buddha dan Majusi. Ada juga jin tidak beragama. Golongan jin yang memeluk Islam sedikit bilangannya dan daripada golongan minoriti jika dibandingkan dengan keseluruhan bilangan jin.

Hanya Allah dan Rasul-Nya mengetahui rupa bentuk asal jin selepas dicipta dan ditiupkan roh. Menurut sesetengah ulama, rupa, tabiat, kelakuan dan perangai jin 90 peratus mirip kepada manusia.

Jin juga diberi keizinan oleh Allah untuk menzahirkan diri dalam pelbagai bentuk dan rupa disukai serta dikehendakinya kecuali rupa Rasulullah SAW. Rupa dizahirkan pula mengikut tahap dan kemampuan masing-masing. Pada asasnya rupa bentuk jin tidak banyak berbeza daripada manusia, iaitu mereka mempunyai jantina, mempunyai hidung mata, tangan, kaki, telinga dan sebagainya.

Pada dasarnya 80 hingga 90 peratus jin menyerupai manusia. Perbezaan ketara adalah sudut fizikal. Jin lebih kecil dan halus daripada manusia. Bentuk tubuh mereka itu ada yang pendek, terlalu tinggi dan mempunyai pelbagai warna seperti putih, merah biru dan hitam.

Menurut sesetengah pendapat, ketinggian jin kira-kira tiga hasta saja. Dalam al-Quran, Allah berfirman setiap yang berjiwa pasti akan merasai mati. Dalam konteks ini, jin juga merasai kematian.

Usia jin mencecah ribuan tahun. Ini kerana mereka bertubuh halus dan tidak terdedah kepada penyakit sakit jantung, kencing manis dan sebagainya seperti manusia.

Biarpun usia jin menjangkau ribuan tahun, mereka tetap merasai kematian. Satu-satunya jin yang tidak akan merasai kematian melainkan apabila datangnya kiamat ialah Iblis laknatullah. Ia berdasarkan permintaannya kepada Allah supaya dipanjangkan umur sampai kiamat untuk menyesatkan anak Adam.

Kecepatan jin bergerak melebihi gerak cahaya dalam satu saat. Disebabkan jin adalah daripada makhluk seni dan tersembunyi, tidak zahir seperti manusia dan tidak sepenuhnya ghaib seperti malaikat, maka ruang kecil pun boleh di duduki berjuta-juta jin dan ia juga boleh memasuki dan menghuni tubuh badan manusia.

Alam kediaman jin di lautan, daratan, udara dan alam Mithal iaitu suatu alam antara alam manusia dan alam malaikat. Makanannya pula berasaskan asap, gas, haruman dan ada juga buah-buahan bersesuaian dengan penciptaan mereka. Makanan jin juga daripada tulang, manakala makanan haiwan ternakan mereka ialah bongkah najis binatang ternakan manusia.

Manusia mengandung sembilan bulan untuk melahirkan zuriat dan anak manusia juga perlu masa lama untuk matang serta menjadi baligh. Berbeza dengan jin, apabila disentuh alat kelamin lelaki dengan alat kelamin perempuan, jin perempuan terus mengandung, beranak dan anak baru lahir itu terus mukallaf.

Alam jin itu satu daripada kebesaran dan keagungan Allah. Cubaan menafikan kewujudan jin dan alamnya boleh membawa kepada menafikan kekuasaan Allah.

Banyak lagi pendedahan alam jin perlu diketengahkan untuk dijadikan garis panduan kasar mengenai jin serta memberi kesedaran pentingnya Muslim menjaga akidah, menjauhi syirik dan mengelakkan diri terjerumus dengan tipu daya jin yang ingkar terhadap Allah.

Penulis ialah pensyarah Bahagian Falsafah dan Tamadun Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia

No comments: