Monday, March 2, 2009

Nasihat Luqman bentuk peribadi Muslim sejati

Oleh Zahid Zamri

SURAH Luqman adalah surah ke-31 dalam al-Quran, salah satu daripada surah Makkiyah. Ia mempunyai 34 ayat, lapan daripadanya menceritakan mengenai Luqman dan nasihat beliau kepada anaknya bermula dari ayat 12 hingga 19.

Identiti sebenar Luqman tidaklah diberitahu dalam al-Quran, tidak dinyatakan dari mana asalnya atau dari umat nabi manakah beliau tergolong. Ada mengatakan Luqman seorang lelaki kulit hitam seperti Bilal.

Cukup untuk kita ketahui bahawa beliau adalah hamba yang terpilih sehingga tersemat namanya dalam al-Quran sebagai hamba Allah SWT yang bersyukur seperti tertulis di permulaan ayat yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami berikan hikmat kepada Luqman iaitu: Bersyukurlah kepada Allah, dan sesiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri." (Surah Luqman, ayat 12)

Walaupun nasihat Luqman ditujukan untuk anaknya, ia boleh menjadi pegangan kepada umat Islam seluruhnya tidak kira muda atau tua. Iktibar boleh diambil daripada mana-mana sudut kefahaman sama ada sebagai panduan bagi ibu bapa untuk mendidik anak, panduan menjadi anak yang soleh dan juga panduan menjadi Muslim yang diredai.

Jika diteliti, nasihat Luqman berkisar kepada beberapa aspek penting. Beliau memberi penekanan mengenai penjagaan akidah, amal perbuatan, ibadat, dakwah dan akhlak. Kesemua aspek itu penting dan berkait rapat dalam usaha mencapai peribadi Muslim sejati.

Pertama, aspek penting dan diberi keutamaan adalah akidah. Luqman mengingatkan dan menekankan betapa pentingnya untuk sentiasa mentauhidkan Allah SWT serta tidak melakukan syirik. Kekuatan akidah diberi penekanan kuat kerana ia adalah perkara asas yang perlu dimantapkan dalam diri setiap Islam kerana dari situ barulah dapat dimajukan aspek keagamaan lain.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bahawa Luqman berkata kepada anaknya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar." (Surah Luqman, ayat 13)

Seterusnya Allah SWT membenarkan apa yang dikatakan Luqman dalam ayat seterusnya dengan menambah mengenai betapa pentingnya untuk kekal mentauhidkan Allah SWT walaupun jika kedua ibu bapa melarang daripada mempercayai bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang Maha Esa.

Kedua ibu bapa mestilah dilayan dengan baik kerana mereka tetap individu yang banyak berjasa membesarkan kita dan mempunyai pertalian darah daging yang tidak ada pada orang lain selain kedua ibu bapa sendiri.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) terhadap dua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah lemah, dan menceraikannya daripada menyusu dalam masa dua tahun. Dan jika kedua-duanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu mengenai itu, maka janganlah kamu mengikuti kedua-duanya, dan pergauilah kedua-duanya dengan baik." (Surah Luqman, ayat 14 dan 15)

Ini kemudiannya dikaitkan dengan aspek amal perbuatan ketika Luqman berkata lagi: "Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatanginya (membalasnya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui." (Surah Luqman, ayat 16)

Ayat itu menekankan betapa pentingnya menjaga setiap amal perbuatan, walaupun ketika menghadapi dugaan berat seperti memiliki ibu bapa yang tidak mengikut lunas akidah Islam. Kita mestilah sentiasa berbuat baik kerana Allah tetap akan menilai setiap perbuatan tidak kira dalam apa juga situasi dan di mana saja.

Aspek berikutnya adalah mengenai ibadat dan Luqman mengingatkan anaknya supaya tidak meninggalkan ibadat solat yang menjadi kefarduan bagi seluruh umat Islam. Beliau berkata: "Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) daripada perbuatan mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang perlu diambil berat untuk melakukannya." (Surah Luqman, ayat 17)

Di situ dapat dilihat Luqman turut menekankan kepentingan melakukan dakwah. Perkara yang tidak baik hendaklah ditegah manakala perkara yang baik hendaklah digalakkan. Ia menjadi tanggungjawab setiap Muslim. Sifat tabah juga perlu dalam usaha menyebarkan dakwah kerana sudah pasti ada pelbagai dugaan dan cabaran menanti.

Seterusnya Luqman menasihati lagi supaya jangan bermegah-megah dan bongkak kerana Allah SWT benci akan sifat sombong. Hendaklah seseorang itu sentiasa bersifat tawaduk dan merendah diri melakukan dakwah walaupun memiliki ilmu pengetahuan agama yang tinggi. Janganlah menganggap diri lebih baik dan pandai daripada orang lain sehingga lupa bahawa manusia adalah tidak lain selain hamba Allah SWT yang lemah.

Luqman berkata: "Dan janganlah kamu memalingkan mukamu daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri." (Surah Luqman, ayat 18)

Justeru, aspek akhlak juga penting bagi melengkapkan ciri-ciri yang diperlukan dalam diri setiap Muslim. Sikap dan penampilan peribadi perlu dijaga bermula daripada cara seseorang itu bercakap hinggalah kepada gaya ketika berjalan.

Nasihat terakhir Luqman: "Dan bersederhanalah kamu dalam berjalan (tidak terlalu cepat atau terlalu lambat) dan rendahkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai." (Surah Luqman, ayat 19)

Jika diteliti dengan mendalam, nasihat Luqman merangkumi semua aspek penting yang sangat berguna bukan saja kepada anaknya, kepada semua individu Muslim tidak kira peringkat umur dan zaman.

Peranan dan tanggungjawab digalas setiap Muslim mesti dilaksanakan sama ada tanggungjawab sebagai anak kepada ibu bapa, sesama manusia dan paling penting tanggungjawab manusia kepada Pencipta untuk taat patuh suruhan-Nya.

No comments: