Thursday, March 19, 2009

Nikmat bertambah bagi individu bersyukur

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh


KEJAYAAN pelajar memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM 2008, baru-baru ini bukti kesungguhan menggali ilmu terbalas.


Bencana diturunkan sebagai iktibar umat sombong, tidak taat perintah Tuhan

KEJAYAAN demi kejayaan dibuktikan anak Malaysia beragama Islam khususnya terbaru dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, menunjukkan sesiapa pun tidak mustahil menggenggam kecemerlangan jika berusaha ke arah itu.

Pada ketika tiada siapa peduli kepayahan mengulang kaji, bersengkang mata siang dan malam, meninggalkan keseronokan dan berhibur kerana menggali ilmu, tidak pula terasa terpinggir atau sukar melaluinya kerana sesiapa yang teringin pasti berusaha mendapatkannya. Ilmu mampu mengubah seseorang yang miskin menjadi kaya, susah menjadi senang, buta menjadi celik bahkan jahil menjadi alim.

Namun begitu, jika ditakdirkan mengecapi, pasti ada alasan yang tidak mampu kita selak, melainkan kita harus juga bersyukur seadanya kerana perancangan-Nya adalah yang terbaik, hikmahnya kita sedari selepas segala-galanya disuratkan Allah.

Allah sebenarnya menyayangi hamba-Nya yang dipilih merasai dunia, diberi kenikmatan sebegitu hingga kadangkala ada lalai dan tamak haloba, lupa menadah syukur, malah mencabar pula kekuasaan-Nya.

Surah An-Nahl, ayat 114, Allah berfirman bermaksud: "Dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata".


USAHA dan doa perlu seiring dalam mengejar sesuatu sebagai tanda umat bersyukur.


Syukur adalah tanda berterima kasih kepada Allah di atas kurniaan nikmat kepada hamba-Nya, sebab itulah tiada orang bersyukur kepada orang lain, melainkan kepada Allah saja.

Antara sesama manusia, kita sekadar mengucapkan terima kasih sebagai tanda penghargaan kerana tiada manusia yang mampu memberi nikmat dan kebaikan kepada manusia yang lain melainkan sebagai penyampai saja.

Syukur juga adalah sebagai pujian dan ingatan dan ia direalisasikan dengan mengerjakan suruhan dan menjauhi larangan Allah. Melalui hati, kita bersyukur dengan mengakui dan meyakini sepenuhnya segala nikmat diperoleh dan dikecapi adalah dari Allah semata-mata, bukan kerana nasib yang baik atau di atas sebarang kebetulan.

Sesungguhnya nikmat Allah tidak terhitung walaupun manusia sering kali lupa bersyukur. Limpahan rahmat dan kesenangan hidup yang dikecapi hari ini adalah kerana kasih sayang-Nya kepada setiap hamba dan makhluk yang dicipta, bahkan selagi ada hamba-Nya menyebut nama-Nya, selagi itulah kita akan terus mengecapi nikmat sekarang. Dalam era kemerosotan akhlak melanda seiring dengan kelemahan ekonomi dunia sekarang, umat Islam di negara ini masih terus berzikir.

Sungguhpun begitu, jika ditakdirkan suatu hari nanti tiada lagi orang bersyukur, pasti akan ada balasannya terhadap seluruh umat manusia, kerana al-Quran memberi peringatan sebagai mana pernah berlaku kepada umat terdahulu.

Antaranya ialah kisah Qabilah Saba', seperti mana dirakamkan Allah dalam Surah Saba', ayat 19 yang mafhumnya: "Maka kemakmuran dan kemudahan itu menjadikan mereka sombong dan kufur lalu berkata: Wahai Tuhan kami, jauhkanlah jarak perjalanan kami di antara sebuah bandar dengan yang lain, dan mereka berlaku zalim kepada diri mereka sendiri, lalu Kami jadikan mereka buah mulut orang ramai, serta Kami pecah-belahkan mereka berkecai. Sesungguhnya kisah mereka mengandung tanda-tanda yang besar pengajarannya bagi tiap-tiap seorang mukmin yang sentiasa bersikap sabar lagi sentiasa bersyukur".

Bencana diturunkan Allah sebagai peringatan terhadap perbuatan sombong dan sikap manusia yang tidak taat kepada perintah Allah serta lupa akan kebesaran-Nya berkuasa ke atas semua penghuni langit dan bumi. Ia juga sebagai iktibar terhadap orang berfikir, segala kekuasaan dan kekayaan yang dikecapi di dunia ini adalah sementara dan bila-bila masa saja boleh diambil pemiliknya jika nikmat diperoleh tidak dipergunakan sebaik-baiknya.

Allah berfirman dalam Surah Ibrahim, ayat 7 bermaksud: "Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras".

Kita dapat melihat realiti kehidupan umat Islam yang diberikan segala kemewahan dan sumber kekayaan oleh Allah dikecapi dengan sebaik-baiknya dan memudahkan urusan ibadah serta muamalat kerana kesenangan hidup memungkinkan umat Islam menjalankan tanggungjawab sebagai hamba dengan lebih baik. Tetapi bukan sedikit nikmat yang pernah dikurniakan diambil kembali sehingga ada umat Islam hari ini yang mengemis di tanah air sendiri.

Sesungguhnya segala bencana diturunkan disebabkan perbuatan manusia sendiri tidak tahu diuntung apabila dibuai kesenangan. Maksiat, pembohongan, menolak hukum agama, kezaliman dan fitnah yang dilempar ke atas umat Islam untuk menghancurkan umat Islam yang lainnya adalah antara malapetaka berlaku ke atas umat Muhammad pada akhir zaman ini.

Dalam Surah Ar-Ruum, ayat 41, Allah berfirman bermaksud: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. Timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali insaf dan bertaubat".

No comments: