Tuesday, March 10, 2009

Perarakan Maulidur Rasul lambang kesatuan ummah

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my


PERARAKAN Sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Sembilan didahului Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Seremban, semalam.


Hujan tak jejas kehadiran 100,000 peserta sambutan peringkat kebangsaan di Dataran Merdeka


HUJAN rahmat pada pagi semalam, 12 Rabiulawal 1430 Hijrah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur tidak sedikitpun melunturkan semangat 100,000 hadirin yang berkumpul sempena memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Berserta paluan kompang diiringi bacaan selawat memohon kesejahteraan ke atas Rasulullah SAW oleh 167 kontinjen yang mengambil bahagian, semangat penyatuan terserlah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1430 Hijrah/2009 Masihi.

Berlindung sementara di kawasan persekitaran, hadirin kembali memenuhi padang Dataran Merdeka untuk menyaksikan kemuncak acara iaitu majlis pengurniaan Anugerah Maulidur Rasul kepada enam penerima termasuk tokoh Anugerah Perdana yang julung kali diperkenalkan tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perarakan kontinjen dari lapan masjid yang mengambil bahagian menuju ke satu arah adalah simbolik kepelbagaian dalam kumpulan Islam yang mungkin ada perbezaan pendapat, tetapi bersatu kerana agama.

"Penyatuan umat Islam di negara ini menampakkan kesan positif dan diharap berterusan. Perbezaan pendapat boleh ada tetapi jangan sehingga membawa perpecahan," katanya pada sidang media selepas majlis itu, semalam.
PESERTA yang mengambil bahagian sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan berarak di Dataran Merdeka, semalam.


Majlis sambutan Maulidur Rasul 1430 Hijrah/2009 Masihi bertemakan 'Wahdah Pemangkin Khaira Ummah' atau Penyatuan Pemangkin Ummah Terbaik bermula dengan perarakan kumpulan kenamaan diketuai Ahmad Zahid dari Masjid Negara menuju Dataran Merdeka.


Ini diikuti perarakan membabitkan kontinjen kakitangan kerajaan, swasta, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah dari lapan masjid yang mengambil bahagian.

Masjid terbabit ialah Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Jamek Kuala Lumpur, Masjid Bukit Aman, Masjid India, Masjid Jamek Kampung Baru, Masjid Pakistan dan Masjid As-Syakirin KLCC.

Majlis dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.

Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong turut menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada penerima sebagai pengiktirafan sumbangan mereka melaksanakan tugas serta perkhidmatan fardu kifayah yang menjurus kepada kepentingan negara dan rakyat.

Mereka ialah Penerima Anugerah Perdana, Profesor Pendidikan di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Sidek Baba; Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr Ma'amor Osman; Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia Cawangan Sarawak, Mortadha Lau Abdullah dan Yang Dipertua Persatuan Pengasih Malaysia, Mohd Yunus Pathi Mohd.

Dua penerima muda yang turut dipilih ialah johan kategori bacaan/suara terbaik Musabaqah Hafazan al-Quran 30 juzuk pada Anugerah al-Quran peringkat Antarabangsa Dubai 2008, Muhamad Ahmad Zahid dan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU), Muhammad Haziq Samrat.

Penerima Anugerah Perdana menerima hadiah wang tunai RM50,000, plak dan sijil penghargaan, sementara lima penerima lain menerima RM22,000 setiap seorang berserta plak dan sijil penghargaan.

Menyentuh pemilihan dua penerima muda itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz, berkata mereka berjaya menampilkan semangat sebagai personaliti dicontohi.

"Adik Muhammad berjaya menghafaz al-Quran pada usia 10 tahun ini pencapaian yang boleh dicontohi mereka sebayanya. Muhammad Haziq pula yang mengalami kecacatan kekal boleh meneruskan kehidupan secara normal tanpa rasa kecewa.

"Semangat ini dapat dilihat dalam sirah Rasulullah SAW yang dilahirkan sebagai anak yatim dan dalam keadaan tertekan pada zaman jahiliah berjaya menghadapi dugaan seterusnya menjadi teladan. Inilah semangat yang kita ingin ada dalam umat Islam hari ini," katanya.

Mengakui anugerah yang diterima itu terlalu tinggi buat dirinya dan datang sebagai amanah, Muhammad yang bersyukur dengan kurniaan itu berazam meningkatkan ilmu dalam bidang hafazan serta terus meningkatkan akhlak yang baik.

Baginya, status sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul bukan satu tekanan, sebaliknya pendorong untuk mencetuskan sesuatu yang baik yang boleh dijadikan contoh supaya remaja sebayanya terarah kepada kegiatan bermanfaat untuk diri, keluarga, agama serta negara.

Sementara Muhammad Haziq mengharapkan, kegembiraan terpilih sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul akan menguatkan semangat kanak-kanak kurang upaya yang lain untuk menerima kekurangan mereka secara positif.

"Pasti saya gembira menerima anugerah ini kerana saya tidak sangka dipilih sebagai seorang penerima.

"Kecacatan bukan kelemahan sebaliknya cabaran yang sepatutnya menguatkan lagi semangat untuk berjaya seperti mereka yang normal," katanya yang bercita-cita menjadi peguam.

Sambutan perhimpunan kali ini turut diserikan 1,430 peserta menaiki motosikal berkuasa tinggi dan motosikal berkuasa rendah yang menggabungkan kalangan profesional serta remaja dalam gerakan dakwah.

Hadirin juga dihiburkan dengan persembahan bermesej mengimbau kehidupan Rasulullah SAW oleh kumpulan al-Gebra, Nakasutra, Akhil Hayy, Waheeda, Yassin dan pencerita Sabri Yunus bersama Ebby Saiful diiringi 60 pelaku gerak dan 40 kanak-kanak.

No comments: