Tuesday, March 17, 2009

Perspektif Ikim: Label Islam diperdagang kaburi pengguna Muslim

Oleh Mohd Noor Omar

Penjenamaan semula perkhidmatan, barangan hanya berubah nama untuk kaut untung

RANTAIAN pembangunan dalam teknologi pengeluaran barang dan perkhidmatan nampak seolah-olah mengalami satu pusingan. Apabila tiba tahap matang, ia berpusing mengulangi penemuan terdahulu untuk dikeluarkan.

Perubahan pasaran yang memperkenalkan barang atau perkhidmatan mengulangi cetusan fikrah lampau untuk disesuaikan dengan keperluan semasa. Tumpuan beralih daripada menjanakan barang dan perkhidmatan baru kepada penjenamaan sedia ada. Akibat persaingan sengit, penjenamaan semula menjadi berleluasa dan apa yang dibimbangi ialah ia dikaitkan dengan Islam. Umat perlu mempersiapkan diri dalam usaha memelihara kesucian Islam daripada kerakusan penjenamaan yang hanya ditunggangi kepentingan tidak seimbang dan tidak adil.

Pandangan sejagat manusia terhadap sesuatu diwarnakan cermin akalnya. Pembinaan fikrah bersandarkan kalimah dikumpul oleh himpunan pendedahan deria dan panduan syarak bagi yang celik mata hati, kemudian membentuk rangka kefahaman. Bagi yang semata-mata mencerna akal tanpa syarak sering melatah apabila tahap kemunasabahan yang disimpulkan bercanggah atau memberi kesan sampingan.

Begitulah keadaan sandaran nama 'Islam' yang dibuat kepada amalan kewangan, pemakanan dan barang serta pendekatan tertentu. Label ini berperanan sebagai papan tanda diletakkan di muka pintu sedang tubuhnya tidak selari.

Tujuannya tidak lain kecuali menjadi daya menarik, memberitahu, membentuk keyakinan akan kebaikannya dan memancing kesanggupan pihak berkaitan menjadi pelanggan. Tanpa berkeyakinan terhadap sandaran itupun, ia boleh diletakkan sesiapa saja kerana bukan keyakinan sebenar dihajati tetapi tarikan sandaran itu menjadi matlamat.

Akibat daripada ketidakseimbangan matlamat dan rupa luaran ini, kesannya boleh memudaratkan pandangan terhadap Islam sendiri. Memang bukan menjadi kesalahan label ini digunakan, tetapi menjadi satu syarat faham Islam dicerap ke seluruh tubuhnya dan menjadi kesalahan jika label ini dipergunakan untuk kepentingan.

Kebanyakan amalan dikaitkan dengan Islam disalahgunakan sehingga berlaku rasuah kalimah dan fitnah terhadapnya. Perkembangan terkini dalam industri kewangan dan makanan sebagai bukti apabila barang dan perkhidmatan tidak baik dan memberi kesan buruk. Islam diperlecehkan kerana keburukan barang dan perkhidmatan itu, sedang ia tidak selari dengan asas digariskan Islam.

Asal barang baru diperkenalkan di pasaran, Islam atau kaitannya digunakan sama ada memancing pengguna Muslim atau berpura-pura setuju dengan ketinggian Islam. Memang Islam tiada tanding dalam pasaran atau dalam apa saja keadaan kerana Islam tinggi dan akan meninggikan apa saja yang dikaitkan dengannya.

Islam datang daripada Pencipta sendiri dan tidak ada apa yang dapat menandinginya. Namun, amanah menjaga kesucian perlu wujud dengan mendaulatkannya dan mencegah penyelewengan berterusan. Semakin lama kematangan dikumpul deria yang seleweng kesannya memberi pandangan alam Islam yang salah bukan saja di kalangan bukan Muslim, malah Muslim sendiri menjadi makin keliru.

Apa yang digadaikan umat adalah perkara paling tinggi yang dimiliki iaitu agamanya. Lambat laun, bukan saja kelengkapan bersuci di bilik air dimukminkan, malah nama Islam sendiri dijaja untuk pasaran. Sejarah kiblat pengurusan kewangan daripada aturan perbankan Barat kini dengan hebatnya menampakkan diri seolah-olah menukarkan arahnya. Namun, pendekatan sekular yang cuba dijenamakan semula oleh hampir kebanyakan institusi kewangan tidak menitikberatkan kerangka sebenarnya faham Islam.

Sehingga ada yang tiba ke peringkat membolehkan apa yang tidak dibolehkan. Ranting hukum diabaikan malah ditukar bagi menjayakan rencana penjenamaan semula. Sering pisau yang gunanya untuk memotong digunakan untuk tujuan kerosakan. Begitu juga dengan memetik pendapat ulama yang daif atau salah konteks dihujah bagi menyokong kepentingan yang dihajati.

Islam adalah agama dan cara hidup. Mengapa kita ingin mengaitkan dengan Islam jika matlamat sebenarnya tidak Islam? Bahagian pertama persoalan ini kita fahami daripada perbincangan di atas iaitu kerana ketinggian Islam sendiri.

Persoalan lain pula ialah apakah sebenarnya matlamat Islam? Untuk memahami matlamat Islam, seseorang perlu menyelami makna ketundukan jiwa kepada Pencipta dan kaitan antara amalan yang dilakukan seluruh kehidupannya. Paling paling mudah disimpulkan adalah kembalinya seseorang menjadi dan mencari fitrah diri dengan tunduk dan patuh sepanjang detik kepada perintah dan mencegah diri dari larangan-Nya. Tidak ada lain dalam hal ini kecuali memahami maksud syahadah.

Percaya kepada Allah dan Rasul membawa bersama yakin dengan kandungan al-Quran. Apa perlunya kepenggunaan halalan thoiyyiba dalam kehidupan? Kenapa ada kecenderungan menyembunyikan riba dalam muamalah? Mungkin sikap tolak ansur membenarkan umat leka sehingga lupa diri menjadi mangsa. Penyalahgunaan halalan thoiyyiba, penjenamaan semula riba, menukar kalimah ke bahasa Arab atau menggunakan nama Islam sebagai nama syarikat adalah antara gejalanya.

Untuk merungkai kecenderungan mempergunakan ungkapan 'Islam' bagi tujuan kepentingan yang tidak bersesuaian, satu kaedah kawalan perlu diperkenalkan. Sudah tiba masanya kita mempersiapkan diri ke arah itu.

Ranting hukum tidak terhad kepada taklifi semata-mata tetapi melangkaui hukum tabii, adat dan akal. Umat perlu memperincikan satu persatu untuk memastikan hukum ini berperanan sebagai panduan dan halangan paling berkesan dalam urusan aqidah, akhlak dan muamalah.

Penulis ialah Penyelidik, Pusat Perundingan dan Latihan Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM)

No comments: