Sunday, March 22, 2009

Ulul Albab: Antara mensejahtera, menyengsara umat

Oleh Abdurrahman Haqqi

Kejayaan pemimpin terletak di atas sejauh mana keistimewaan, ciri-ciri utama dimiliki

DARIPADA beberapa pengertian kata 'khalifah' yang diberikan ulama Islam, satu pengertian yang masyhur adalah ia bermakna "seorang yang dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk mengatur kehidupan manusia di bumi dengan berdasarkan wahyu dan syariat Allah, supaya kehidupan manusia itu teratur dan mempunyai tujuan hidup yang suci murni untuk mencapai keredaan Allah." (Tafsir Pimpinan Arrahman, Nota 20)

Umat manusia sudah ditetapkan Allah sebagai khalifah dengan pengertian di atas menerusi ayat 30, Surah al-Baqarah yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi."

Agar kepemimpinan umat manusia di bumi berkesan dengan pengertian kepemimpinan banyak bergantung kepada adanya individu yang sesuai untuk keadaan atau keadaan semasa dan adanya beberapa kumpulan yang sesuai bagi situasi serta kumpulan subordinat semasa.

Maka, Allah sudah mempersiapkan pada diri khalifah-Nya satu kemahiran yang boleh mencapai matlamat kekhalifahan. Kemahiran itu adalah ilmu pengetahuan. Firman-Nya bermaksud: "Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya." – (Surah al-Baqarah: 31). Ayat ini menunjukkan kelebihan ilmu pengetahuan dan memberi pelajaran kepada kita bahawa seseorang khalifah atau pemimpin itu mestilah ada ilmu pengetahuan cukup mengenai dunia dan akhirat.

Dengan pengertian kepemimpinan sebagai satu percubaan untuk pengaruh-mempengaruhi antara peribadi, yang diarahkan melalui proses komunikasi, menuju pencapaian satu matlamat atau beberapa matlamat, kepemimpinan manusia ada yang ditunjuk secara langsung oleh Allah sendiri yakni nabi dan rasul; dan ada juga yang secara tidak langsung melalui proses semula jadi.

Kepemimpinan seperti ini secara amnya mempunyai lima peranan (Azahari (1998)) iaitu pengendalian kumpulan, iaitu pemimpin perlu membentuk, memperkuat dan mengembangkan kumpulan; menunjukkan arah tuju, iaitu wawasan, matlamat, tujuan, pengharapan, standard, pencapaian kualiti, dan sebagainya; mengendalikan kerja berkumpulan terutama dalam organisasi; membangunkan anggota kumpulan; dan menyempurnakan penilaian, iaitu dalam kumpulan (organisasi), arah, kerja, anggota (pengikut/pekerja) dan penilaian.

Benarlah apa yang disabdakan oleh Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya pemimpin itu laksana perisai, tempat orang berperang di belakangnya dan berlindung kepadanya." – (Hadis riwayat Muslim) Sungguh indah pemisalan seorang pemimpin yang diberikan Baginda ini. Pemimpin adalah perisai.

Mengenai sebaik-baik perisai pun Nabi memberikan petunjuk dengan sabdanya bermaksud: "Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu cintai dan mereka pun mencintai kamu serta yang sentiasa kamu doakan dan mereka pun selalu mendoakan kamu." – (Hadis riwayat Muslim)

Inilah dua kriteria pemimpin yang baik yakni pemimpin yang dicintai dan mencintai; dan sentiasa didoakan dan mendoakan kerana dengan saling mencintai dan saling mendoakan kehidupan akan berjalan lancar. Dan tidak saling benci membenci dan saling laknat melaknat kerana saling membenci dan melaknat kehidupan akan porak peranda.

Jika kita membaca kisah Baginda sebagai seorang pemimpin maka kita akan mendapati kisah berikut. Pada suatu hari, Rasulullah sedang dalam perjalanan bersama beberapa orang sahabat. Apabila tiba waktu makan tengah hari, sahabat berkenaan bercadang menyembelih kambing untuk hidangan mereka. Seorang daripada mereka berkata: "Biarlah aku menyembelihnya." Seorang sahabat lain pula berkata "Baiklah, aku yang memasaknya." Belum lagi mereka selesai berbincang, tiba-tiba Rasulullah bersabda: "Biarlah aku yang mencari kayu bakarnya."

Mendengar itu, sahabat terperanjat dan berkata: "Wahai Rasulullah, biarkanlah kami saja yang bekerja, cukup sudah tenaga kami ini." Nabi Muhammad lalu menjawab: "Aku tahu bahawa tenaga kalian sudah cukup tapi aku tidak suka jika diistimewakan melebihi kalian. Sesungguhnya, Allah benci melihat hamba-Nya diberi keistimewaan tersendiri melebihi kawan lain."

Dalam kisah di atas, kita perhatikan bagaimana Rasulullah tidak mahu ketinggalan dalam bergotong-royong dan memikirkan hal-ehwal semasa. Ketika sahabatnya bersiap sedia untuk memasak dan masing-masing mempunyai tugas sendiri, Rasulullah masih memikirkan bahawa ada satu perkara yang belum diselesaikan iaitu kayu bakar untuk memasak. Baginda pun menawarkan diri untuk mencarinya. Sesungguhnva ia adalah suatu tanda kebesaran dan keagungan kepemimpinan Rasulullah.

Menurut seorang cendekiawan Islam, Fathi Yakan, kepemimpinan adalah sejenis seni hubungan perilaku manusia, pengaruh gaya tindakan serta penghalaannya ke arah matlamat tertentu, dengan cara yang boleh menjamin kepatuhan, kepercayaan dan penghormatan.

Kejayaan pemimpin dalam peranannya ini terletak di atas sejauh manakah keistimewaan dan ciri-ciri utama yang dimiliki. Kita sedia maklum bahawa ada sesetengah sifat semula jadi mungkin boleh membantu untuk mengembangkan bakat kepemimpinan, tetapi ia hanya sekadar tertentu saja. Oleh itu, untuk menyempurnakan watak kepemimpinan ini, haruslah ada potensi lain dari segi fikiran, rohani, jasmani, keorganisasian, akhlak dan peribadi.

Jika kita amati lagi kisah di atas, kita juga mendapati bahawa Rasulullah memiliki ciri-ciri yang perlu ada bagi seseorang pemimpin iaitu mengenali ladang, mengenali jiwa, memberi perhatian kepada orang yang dipimpin, teladan yang baik, pandangan yang tajam, kemahuan yang kuat, daya tarikan semula jadi dan optimisme.

Hubungan antara pemimpin dan yang dipimpin mestilah berdasarkan kepada kepercayaan, taat, ikhlas dan tanggungjawab yang dengannya keharmonian dan gotong royong boleh dibina dan dikembangkan, manakala keharmonian dan gotong-royong adalah teras kejayaan sesuatu masyarakat.

Pemimpin dan yang dipimpin adalah dua sendi masyarakat yang tidak boleh dipisahkan. Islam menganggap ketaatan kepada pemimpin sebagai tanda taat kepada Allah, manakala keadilan dan keihsanan pemimpin terhadap yang dipimpin sebagai tanda keredaan Allah.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang taat kepadaku sesungguhnya dia telah taat kepada Allah dan sebaliknya yang derhaka terhadapku, dia telah derhaka terhadap Allah. Sesiapa yang taat kepada pemimpin, sesungguhnya dia taat kepadaku dan sesiapa yang menderhaka, maka dia telah menderhakaiku." – (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain boleh membawa kepada kejayaan di dunia dan akhirat, ketaatan kepada pemimpin juga boleh membawa kepada malapetaka dan menjerumuskan kita ke dalam api neraka. Dalam sebuah hadis seorang sahabat berkata: "Aku pernah datang kepada Nabi SAW, sementara di leherku tergantung salib yang dibuat daripada emas. Nabi SAW lalu bersabda, "Wahai Adi, campakkan berhala itu dari tubuhmu!" Lalu aku mendengar Baginda membaca ayat al-Quran maksudnya: "Mereka menjadikan pendita dan ahli agama mereka sebagai tuhan selain Allah." – (Surah at-Taubah: 31) Nabi SAW kemudian bersabda, "Benar, mereka tidak menyembah pendita dan ahli agama itu. Akan tetapi, ketika pendita dan ahli agama itu menghalalkan sesuatu bagi mereka, mereka pun menghalalkannya, dan jika pendita dan ahli agama itu mengharamkan sesuatu, mereka pun mengharamkannya." – (Hadis riwayat Tirmizi)

Dalam dua keadaan kepemimpinan di atas ada pemimpin yang mensejahterakan umat yakni pemimpin yang bermatlamat memperjuangkan untuk menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram. Dan sebaliknya, ada juga pemimpin yang menyengsarakan umat yakni pemimpin yang mematlamatkan perjuangan untuk menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Wallahu a'lam.

No comments: